Thursday, March 18, 2010

Sekapur Sireh Seulas Pinang


Alhamdulillah bersyukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNYA dapat juga kami menyiapkan tugasan blog dalam tempoh yang diberikan. Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dr Mawar Shafie kerana sentiasa memberi penerangan dan maklumat dari semasa ke semasa bagi melengkapkan blog tokoh yang dikaji. Tanpa bantuan beliau sudah pasti sukar bagi kami untuk menyiapkan tugasan ini. Ucapan terima kasih ini juga saya tujukan kepada Pegawai Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka kerana membenarkan kami mendapatkan rujukan dan maklumat yang berkaitan dengan tugasan kami. Tidak lupa juga ucapan terima kasih ditujukan kepada rakan-rakan sekumpulan yang sanggup bertungkus lumus bagi menyempurnakan tanggungjawab dan tugasan untuk menyiapkan blog ini.

Blog ini merupakan sebahagian daripada penilaian untuk kursus SKMM 1043 iaitu Cerpen Melayu yang dikelolakan oleh Dr Mawar Shafie di bawah Program Persuratan Melayu, Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Tugasan ini melibatkan pelajar tahun satu semester kedua bagi sesi 2009/2010 kursus Cerpen Melayu. Setiap kumpulan terdiri daripada 3 atau 4 orang ahli akan diberikan satu tokoh sastera untuk dikaji. Pengkajian tentang tokoh ini terdiri dari pelbagai aspek iaitu latar belakang tokoh, anugerah dan pengiktirafan serta karya dan sumbangannya dalam bidang penulisan khususnya bidang cerpen. Kami diberi tugasan untuk mengkaji tokoh cerpenis allahyarham Abdullah Tahir yang telah banyak memberikan sumbangan yang bermakna dalam hayat dan kehidupan kesusasteraan, bangsa terutama dalam genre cerpen. Diharapkan dengan terciptanya blog ini orang ramai dapat mengetahui tentang latar belakang diri beliau dan karya-karya yang dihasilkan oleh allahyarham serta sumbangannya yang begitu besar dalam bidang penulisan.

Latar Belakang Tokoh




Abdullah Tahir dilahirkan di kampung Kubang Kerian, Kota Bahru pada 19 Mac 1945. Beliau menggunakan nama Nurul Ain Rosdik dan merupakan anak keempat daripada lapan orang adik beradik.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan (1952 -1958) dan kemudiannya menyambung pengajiannya di Sultan Ismail Collage (kini Maktab Sultan Ismail Kota Bharu pada (1959-1963). Abdullah kemudiannya berlatih menjadi guru di Maktab Perguruan Harian, Kuantan (1964-1966). Di Maktab inilah Abdullah mula mempertajamkan minatnya dalam kesusasteraan. Pada tahun 1972 beliau lulus Sijil Tinggi Persekolahan (STP). Pada tahun 1973 beliau melanjutkan pengajiannya ke Universiti Malaya dalam bidang Kesusasteraan Tulen di Jabatan Pengajiian Melayu (Fakulti Sastera dan Sains Sosial) dan lulus Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) pada tahun 1976 dan seterusnya menerima Ijazah Sarjana Sastera pada tahun 1980 dan kemudiannya beliau menyandang jawatan tutor dan menjadi pensyarah di jabatan yang sama.

Sebelum Abdullah Tahir manjadi pensyarah di Universiti Malaya, beliau pernah bertugas sebagai guru. Pada tahun 1978 beliau bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Penulisan Kreatif dan Deskreptif Universiti Malaya selepas tamat Latihan Perguruan di Maktab Latihan, Harian Kuantan. Selepas itu, pada tahun 1995 beliau dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya. Beliau kembali ke rahmatullah pada tanggal 5 Julai 1997. Jawatan terakhir beliau sebelum meninggal dunia ialah Prof Madya dan selaku Ketua Jabatan Pengajian Media.

Ketokohan Abdullah Tahir sebagai cerpenis yang menulis sejak 1960-an memang terserlah bakatnya yang begitu besar sekali. Semasa hayatnya, beliau aktif dalam persatuan seperti Penulis Kelantan dan PENA, di samping menyerlahkan bakat dalam penulisan cerpen dan sajak. Dalam dunia penulisan genre cerpen nama Abdullah Tahir sering dihubungkan dengan penulisan beraliran baru yang cenderung membawa perubahan dan sesi pemilihan subjek naratifnya dan langgam penceritaan. Kadangkala karya-karya cerpen menyerlahkan kreativitinya untuk bereksperimen seperti yang pernah dilaksanakan oleh cerpenis Anwar Ridhwan dan Mana Sikana. Beliau telah menghasilkan beberapa buah cerpen dan karya cerpen yang dihasilkan oleh beliau memenangi beberapa anugerah. Cerpen beliau turut dimuatkan dalam antologi cerpen, kumpulan cerpen dan termasuklah cerpen eceran di dalam majalah Dewan Sastera. Cerpennya yang bertajuk Penantian di Walden Place” (Bacalah dalam Bahasamu Jilid B DBP 2000), telah dipilih menjadi bahan Teks Kesusasteraan Melayu di peringkat SPM. Oleh hal yang demikian tidak dapat dipertikaikan bahawa Abdullah Tahir merupakan penulis fiksyen Melayu moden yang mempunyai kedudukan tersendiri dalam arena perkembangan penulisan di tanah air.

Beliau telah berjaya menunjukkan bakatnya dalam bidang penulisan cerpen dibandingkan dalam banyak bidang lain yang diceburinya seperti menulis sajak, puisi, kritikan, rencana dan drama. Beliau yang menulis lebih daripada tiga dekad itu memberikan sumbangan yang bermakna dalam hayat dan kehidupan kesusasteraan, bangsa terutama dalam genre cerpen. Al-Fatihah buat allahyarham Prof. Madya Abdullah Tahir yang telah pergi menemui Ilahi.

Karya dan sumbangan


Hujan Di Daerah Seeta
Kandungan:

  • Digigit lalat dari spain
  • Harimau jantan menganga
  • Ribut yang berbukit bergunung
  • Bergelut dengan ketakutan
  • Sebuah perahu seela pasir
  • Biar babinya mati tua
  • Sembilu
  • Hujan di daerah seeta
  • Risau
  • Nak pijak tangga universiti
  • Cinta seorang pria


Di Perhentian Pertama
Kandungan:

  • Metamorfosis
  • Di perhentian pertama
  • Di tengah-tengah perempuan
  • Isyarat
  • Mangsa
  • Insomnia
  • Batu
  • Tokoh
  • Sempadan
  • Grotesque
  • Menarah gunung
  • Sang tahanan
  • Kepulangan seorang tua
  • Uri
  • Dendam
  • Krisis
  • Genius
  • Penantian Di Walden Place

Sang Tahanan
Kandungan:

  • Tokoh
  • Terperangkap
  • Krisis
  • Sempadan
  • Penantian di Walden Place
  • Broker
  • Grostesque
  • Pertemuan Di Cadar Rapids
  • Fanomena Baru
  • Tuk Mak
  • Sang Tahanan

Di Tengah Perempuan

Kandungan:
  • Tamu
  • Pertemuan
  • Percakapan antara Asmarawan
  • Kekasih
  • Pintu
  • Tiada rahsia lagi
  • Krisis
  • Pohon tua dipenjuru mata
  • Penyair wanita
  • Hanim
  • Bagai tertusu sembilu
  • Di tengah perempuan

Anugerah dan Pengiktirafan

Abdullah Tahir pernah memenangi beberapa anugerah sepanjang beliau terlibat dalam bidang penulisannya iaitu:

1. Memenangi hadiah Sastera Utusan-Public Bank dalam 3 buah cerpen iaitu
• Cerpen “Grotesque”
• Cerpen “Dendam”
• Cerpen “Sang Tahanan”

2. Memenangi hadiah Sayembara Menulis Cerpen ESSO-GAPENA iaitu:
• Cerpen “Sempadan”

3. Memenangi hadiah Cerpen DBP-MAYBANK iaitu:
• Cerpen “Menorah Gunung”

4. Memenangi Peraduan Cerpen Berunsur Islam Anjuran Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri (Pusat Islam) iaitu dalam cerpennya yang bertajuk:
• “Tuhanku Tuhanmu Juga” (1977)
• “Jejak-Jejak Yang Singgah” (1978)
• “Kepulangan” (1978)

5. Memenangi hadiah saguhati Sayembara Penulisan Cerpen anjuran PENA pada tahun 1967

6. Puisi nukilan beliau yang bertajuk “Dua Bayang” telah mendapat tempat pertama hadiah sastera anjuran Utusan Melayu-Public Bank(1986)

7. Memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia iaitu cerpen “Sang Tahanan”

8. Dilantik oleh DBP untuk mngikuti kursus Internasional Writing Programme di Universiti Lowa, Amerika Syarikat selama 3 bulan. Kepulangaanya daripada mengikuti kursus tersebut beliau menghasilkan cerpen-cerpen berlatarkan luar Negara, khususnya USA.

Bibliografi

Abdullah Tahir. 1978. Hujan Di Daerah Seeta. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributions.

Abdullah Tahir. 1978. "Pertemuan". Dewan Sastera September: 13-15.

Abdullah Tahir. 1981. Di Tengah Perempuan. Kuala Lumpur: Pustaka Ilmu Raya Sdn. Bhd.

Abdullah Tahir. 1984. Uri. Kuala Lumpur: Pustaka Ilmu Raya Sdn. Bhd.

Abdullah Tahir. 1988. Angin Dari Gunung. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdullah Tahir. 1988. Orang Kampus. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdullah Tahir. 1989. Isyarat. Kuala Lumpur: Kumpulan Delima Jabatan Penulisan, Universiti Malaya.

Abdullah Tahir. 1990. "Kamus Ringkas Kata-kata Yang Salah Ditafsirkan". Dewan Sastera Ogos: 19-22.

Abdullah Tahir. 1991. Cerpen-Cerpen Nusantara Mutakhir: Suratman Markasan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Abdullah Tahir. 1995. "Batas". Dewan Sastera Disember: 13-17.

Abdullah Tahir. 1995. "Genius". Dewan Sastera Julai: 13-15.

Abdullah Tahir. 1997. Sang Tahanan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Abdullah Tahir. 2005. Di Perhentian Pertama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka

Ahmad Kamal Abdullah. 1993. Proses Kretif Pengarang Melayu Jambak 2. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Sayembara ii Cerpen Hadiah Esso-Gapena.1987. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Zalila Sharif. 2003. Feminisme dalam Kesusasteraan Malaysia dan Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka