Thursday, March 18, 2010

Latar Belakang Tokoh




Abdullah Tahir dilahirkan di kampung Kubang Kerian, Kota Bahru pada 19 Mac 1945. Beliau menggunakan nama Nurul Ain Rosdik dan merupakan anak keempat daripada lapan orang adik beradik.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan (1952 -1958) dan kemudiannya menyambung pengajiannya di Sultan Ismail Collage (kini Maktab Sultan Ismail Kota Bharu pada (1959-1963). Abdullah kemudiannya berlatih menjadi guru di Maktab Perguruan Harian, Kuantan (1964-1966). Di Maktab inilah Abdullah mula mempertajamkan minatnya dalam kesusasteraan. Pada tahun 1972 beliau lulus Sijil Tinggi Persekolahan (STP). Pada tahun 1973 beliau melanjutkan pengajiannya ke Universiti Malaya dalam bidang Kesusasteraan Tulen di Jabatan Pengajiian Melayu (Fakulti Sastera dan Sains Sosial) dan lulus Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) pada tahun 1976 dan seterusnya menerima Ijazah Sarjana Sastera pada tahun 1980 dan kemudiannya beliau menyandang jawatan tutor dan menjadi pensyarah di jabatan yang sama.

Sebelum Abdullah Tahir manjadi pensyarah di Universiti Malaya, beliau pernah bertugas sebagai guru. Pada tahun 1978 beliau bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Penulisan Kreatif dan Deskreptif Universiti Malaya selepas tamat Latihan Perguruan di Maktab Latihan, Harian Kuantan. Selepas itu, pada tahun 1995 beliau dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya. Beliau kembali ke rahmatullah pada tanggal 5 Julai 1997. Jawatan terakhir beliau sebelum meninggal dunia ialah Prof Madya dan selaku Ketua Jabatan Pengajian Media.

Ketokohan Abdullah Tahir sebagai cerpenis yang menulis sejak 1960-an memang terserlah bakatnya yang begitu besar sekali. Semasa hayatnya, beliau aktif dalam persatuan seperti Penulis Kelantan dan PENA, di samping menyerlahkan bakat dalam penulisan cerpen dan sajak. Dalam dunia penulisan genre cerpen nama Abdullah Tahir sering dihubungkan dengan penulisan beraliran baru yang cenderung membawa perubahan dan sesi pemilihan subjek naratifnya dan langgam penceritaan. Kadangkala karya-karya cerpen menyerlahkan kreativitinya untuk bereksperimen seperti yang pernah dilaksanakan oleh cerpenis Anwar Ridhwan dan Mana Sikana. Beliau telah menghasilkan beberapa buah cerpen dan karya cerpen yang dihasilkan oleh beliau memenangi beberapa anugerah. Cerpen beliau turut dimuatkan dalam antologi cerpen, kumpulan cerpen dan termasuklah cerpen eceran di dalam majalah Dewan Sastera. Cerpennya yang bertajuk Penantian di Walden Place” (Bacalah dalam Bahasamu Jilid B DBP 2000), telah dipilih menjadi bahan Teks Kesusasteraan Melayu di peringkat SPM. Oleh hal yang demikian tidak dapat dipertikaikan bahawa Abdullah Tahir merupakan penulis fiksyen Melayu moden yang mempunyai kedudukan tersendiri dalam arena perkembangan penulisan di tanah air.

Beliau telah berjaya menunjukkan bakatnya dalam bidang penulisan cerpen dibandingkan dalam banyak bidang lain yang diceburinya seperti menulis sajak, puisi, kritikan, rencana dan drama. Beliau yang menulis lebih daripada tiga dekad itu memberikan sumbangan yang bermakna dalam hayat dan kehidupan kesusasteraan, bangsa terutama dalam genre cerpen. Al-Fatihah buat allahyarham Prof. Madya Abdullah Tahir yang telah pergi menemui Ilahi.

No comments:

Post a Comment